SEPANG: Dua pengarang wanita Astro AWANI, Dr Azlinariah Abdullah dan Azlinda Md Salim antara 14 petugas media yang bakal terbang ke Tanah Suci untuk membuat liputan musim haji dan menunaikan ibadah berkenaan, malam ini.

Editor Berita Pelbagai Platform yang juga penerbit, Azlinariah menganggap tugasan kali ini adalah luar daripada kebiasaan sepanjang kerjayanya dalam bidang kewartawanan, malah merupakan satu peluang yang amat besar.

"Seperti yang diketahui, cuaca di Makkah dan Madinah Ketika musim haji adalah sangat panas dan ditambah pula dengan jutaan umat Islam berkumpul di sana untuk ibadat ini.

"Bagaimanapun, semua itu tidak menjadi halangan kepada saya dan Azlina untuk memberi liputan terbaik. Kami akan bersama-sama petugas media lain yang kebanyakannya lelaki untuk membawa kepada rakyat Malaysia suasana dan cerita-cerita menarik mengenai musim haji ini," katanya.

Selain itu, Azlinariah berkata, mereka juga perlu memastikan kesihatan berada dalam keadaan baik sepanjang berada di sana.

Dalam pada itu, Azlinariah bersyukur diberi peluang untuk mengerjakan haji serta menjejakkan kaki sekali lagi di Tanah Suci memandangkan baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah pada Mac lalu.

“Alhamdulillah segalanya sudah diatur, Tabung Haji (TH) juga banyak memberi panduan dan perkongsian supaya saya bersedia untuk berada di sana untuk satu tempoh yang cukup lama serta dapat menjalankan tugas dengan lancar.

“Sudah pasti saya bersyukur atas rezeki ini... kerana pada akhirnya rezeki bertugas itu juga satu ibadah. Dan perlu diingatkan ini bukan satu tugasan biasa seperti membuat liputan tanah runtuh dan sebagainya, tetapi ini dua dalam satu iaitu pergi bertugas dan menunaikan ibadah,” katanya.

Dalam masa sama, Editor Utama Hal Ehwal Semasa da Masa Depan yang juga penerbit, Azlinda Md Salim yang menyambut ulang tahun kelahiran hari ini, menyifatkan peluang membuat laporan dan mengerjakan ibadah haji sebagai hadiah hari jadi terbaik.

“Ini hari istimewa secara peribadi bagi saya... ibadat haji adalah sesuatu yang besar bagi semua umat Islam dan saya amat bersyukur mendapat peluang ini. Malah, ia sangat istimewa kerana saya akan bertolak ke Tanah Suci hari ini iaitu hari ulang tahun kelahiran saya.

"Untuk penonton dan pengikut Astro AWANI pula, kami akan bawakan laporan yang istimewa juga tahun ini ... ia adalah laporan jejak wanita ke Al Haramain. Insya-Allah tunggu nanti,” katanya.

Seramai 160 orang petugas Lembaga Tabung Haji termasuk 14 orang pengamal media dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada jam 9.30 malam ini.

Kesemua mereka adalah kumpulan kedua petugas haji yang digerakkan ke Arab Saudi bagi membuat persiapan awal bagi operasi musim haji tahun 2024.